Anwar beri bayangan jawatan timbalan perdana menteri milik BN, GPS

Anwar beri bayangan jawatan timbalan perdana menteri milik BN, GPS

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, ia kerana BN dan GPS adalah teras kekuatan kerajaan perpaduan pimpinannya.

“Ini melibatkan kerajaan perpaduan bagi ruang untuk kita berbincang dulu. Jawatan timbalan perdana menteri biasanya daripada komponen kuat yang lain (selain PH), setakat ini dari BN.

“Dan Sabah, Sarawak…komponen terkuat Sabah Sarawak adalah GPS,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri ke-10, malam ini,

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi.

Anwar berkata, memandangkan jawatan Perdana Menteri telah disandang PH selaku komponen terbesar, jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada rakan gabungannya.

Tambah beliau, kerajaan pimpinannya dianggotai BN, GPS sebagai tujang serta Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Sementara itu, mengulas berkenaan sama ada mahu menolak gajinya sebagai Perdana Menteri, Presiden PKR itu menyatakan pendirian sama bahawa tidak mahu mnegambil gaji untuk jawatan itu.

Katanya, tindakan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat ketika negara dalam situasi ekonomi tidak menentu.

“Pasal apa awak nak paksa saya tak terima gaji…Ia sebagai langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat.

“Saya memilih untuk menolak gaji perdana menteri,” katanya lagi.

Sebelum ini, ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar menyatakan pendirian tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri jika PH berjaya membentuk kerajaan.

Tambahnya, beliau tidak sanggup untuk mengambil gaji sebagai perdana menteri kerana melihat keperitan rakyat dengan kenaikan harga barang di samping tiada solusi berkesan daripada kerajaan. – Malaysiapost

Komen