Anwar tamatkan badi ‘PM tepi’

Anwar tamatkan badi ‘PM tepi’

SELEPAS dua kali mencuba dengan mengetuai pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan badi ‘PM Tepi’ hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengetuai gabungan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 serta PRU15 pada Sabtu lalu.

Pada PRU12 Anwar tidak layak bertanding kerana baru dibebaskan dari penjara, manakala PRU14 lalu beliau berada dalam penjara berhubung kesalahan liwat.

Ketika mula dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998, Anwar berdepan kes mahkamah dan dipenjarakan atas kesalahan rasuah menyebabkan beliau tidak bertanding pada PRU 1999.

Beliau juga tidak bertanding pada 2004 ketika Barisan Nasional (BN) menang besar di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana masih belum dibebaskan.

Selepas PRU14 lalu yang menyaksikan PH pertama kali menumbangkan BN dimpimpin Datuk Seri Najib Razak, Anwar dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan diraja.

Pada 13 Oktober 2018, beliau menang kerusi Parlimen Port Dickson yang dikosongkan penyandangnya, demi memberi laluan buat Anwar ke Putrajaya.

Ini kerana Presiden PKR itu telah dijanjikan jawatan Perdana Menteri yang bakal diserahkan oleh Pengerusi PH ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun peralihan kuasa tidak berlaku seperti yang dijanjikan apabila pemimpin Bersatu enggan melihat Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kerajaan PH kemudian tumbang pada penghujung Februari 2020 selepas Dr Mahathir meletak jawatan, disusuli ‘siri pengkhianatan’ beberapa Ahli Parlimen PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kemelut politik ketika itu menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan dengan sokongan Ahli Parlimen BN serta PAS melalui gabungan dinamakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada 24 September 2020, Anwar mengejutkan ramai pihak apabila mengadakan sidang media mendakwa mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Namun ia tetap berlalu tanpa apa-apa perubahan apabila Anwar gagal akhirnya untuk membuktikan kenyataan beliau iaitu “I have a numbers and convincing”.

Kemudian muncul pula cerita Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa lagi Ahli Parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong beliau sebagai PM9.

Susulan itu Umno berantakan apabila sebahagian Ahli Parlimennya terutama yang berada dalam kerajaan Muhyiddin, membantah dengan slogan ‘No Anwar, No DAP.

Sekali lagi, hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian.

Sebaliknya, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Muhyiddin hilang sokongan pada 21 Ogos 2021.

Selepas kekalahan teruk PH khususnya PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, terdapat beberapa pemimpin PH termasuk dari DAP mula bersuara meminta Anwar berundur.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bergerak menuju ke Istana Negara untuk upacara angkat sumpah

Namun beliau terus diberikan kepercayaan oleh Majlis Presiden PH untuk mengetuai gabungan itu seterusnya berdepan PRU15 yang dipanggil mengejut ketika ‘musim tengkujuh’.

Sabtu lalu, Anwar memimpin PH memenangi 82 kerusi Parlimen dan gabungan meraih paling banyak kerusi berbanding PN dengan 73 kerusi.

Selepas lima hari Parlimen tergantung, Anwar akhirnya mendapat sokongan mencukupi termasuk dari BN seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kredit foto: Ihsan RTM

Pada jam 5 petang tadi, anak jati Pulau Pinang berusia 75 tahun itu mengakhiri badi ‘PM tepi’ apabila mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara.

Datuk Seri Anwar melambai kepada para pengamal Media yang setia menunggu dihadapan kediamannya

‘Sumpahan’ PM Tepi telah berakhir, esok Anwar akan memasuki Pejabat Perdana Menteri sebagai orang nombor satu kerajaan buat pertama kalinya. – Malaysiapost

Komen