Azhari Zain meninggal dunia

Azhari Zain meninggal dunia

PENGARAH filem, Azhari Zain menghembuskan nafas terakhir pukul 12.05 tengah malam tadi selepas sembilan bulan terlantar akibat serangan angin ahmar.

Berita sedih itu dikongsikan isterinya, Wahizatul Nureen Azmi yang memaklumkan suaminya meninggal dunia di kediaman mereka di Sunway Alam Suria, Shah Alam.

Azhari yang berusia 50 tahun meninggalkan isteri, Wahizatul Nureen serta tiga cahaya mata.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Paip Meru, Klang, pagi ini.

Sebelum ini, Azhari yang mengalami strok sejak Februari lalu dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga bulan dirawat di hospital.

Keadaannya pada waktu itu dilaporkan kritikal akibat pendarahan di kepala apabila saluran darah dalam otak tersumbat hingga menjejaskan pergerakan mahu pun berkomunikasi.

Difahamkan tahap kesihatannya semakin merosot sejak seminggu yang lalu.

Terdahulu Azhari yang memulakan kerjaya penerbitan pada 2004 diberi kepercayaan sebagai penulis dalam pelbagai projek filem seperti Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung, Otai dan Duyung.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mengarahkan sekitar 20 filem.

Antara produksi yang mendapat sentuhannya adalah filem Santau, Zoo, Hantu Dalam Botol Kicap, Mantra, Flat 3A, Seram Sejuk, Salam Cinta, Minyak Dagu, Sabda Kekasih, Hantu Kelima dan Siku 12: Langkah Derhaka.

Azhari juga pernah aktif berlakon dengan terbabit dalam filem Nana Tanjung 2, Cicakman 2: Planet Hitam, Duyung, Sifu & Tonga, Magika serta Selamat Hari Tak Jadi. – Malaysiapost

Komen