Cepat sembuh Nad

Cepat sembuh Nad

PELAKON Nad Zainal, 32, yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ampang akibat paru-paru berdarah, mula menunjukkan perkembangan positif, pagi ini.

Perkembangan terbaharu Nad yang dipercayai mengalami autoimun iaitu keadaan di mana sistem imun menyerang sel atau tisu sendiri, dikongsi rakannya, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz.

Ungku Ismail berkata, hospital memaklumkan paras oksigen dalam darah Nad sudah mencecah bacaan 100 dengan alat bantuan pernafasan.

Justeru, kata Ungku Ismail, doktor akan cuba mengurangkan kekuatan alat bantuan pernafasan berkenaan bagi memantau tahap oksigen Nad.

“Alhamdulillah, oksigen Nad sudah mencecah bacaan 100. Doktor akan cuba kurangkan bantuan alat pernafasan berkenaan.

“Pendarahan pada paru-paru Nad sudah berhenti dan tunjuk tindak balas positif terhadap ubat yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, doktor bagaimanapun bimbang kemungkinan ada jangkitan pada buah pinggang kerana mereka dapati radang pada organ berkenaan.

Ungku Ismail yang berada di sisi Nad sejak teman gandingannya dalam drama Cina Buta itu dimasukkan ke hospital, Isnin lalu, memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibu kepada dua cahaya mata itu. – Malaysiapost

Komen