Cikgu Ishak Surin meninggal dunia

Cikgu Ishak Surin meninggal dunia

VETERAN Amanah Ishak Surin, dilaporkan meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi dan berita sedih itu dikongsikan di laman Facebook rasmi parti berkenaan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda yang kita kasihi, Cikgu Haji Ishak Surin telah kembali ke rahmatullah jam 4 pagi tadi.

“Salam takziah buat seluruh keluarga ayahanda. Semoga Allah mengampuni segala dosa dan mencucuri rahmat ke atas rohnya,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu turut memaklumkan jenazah disembahyangkan di Madrasah Tarbiah Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Puah.

Allahyarham Ishak, 88, pernah mengetuai Amanah Batu dan sebelum itu lama bergiat di dalam PAS.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu, turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.

“Hari ini perginya Cikgu Ishak Surin. Kehilangan besar pada masyarakat. Beliau seorang pejuang rakyat dan berkhidmat untuk negara dan masyarakat.

“Beliau digelar pemimpin marhaen, pemimpin rakyat bawahan sampai ke akhir hayatnya. Perkhidmatan beliau perlu dicontohi,” katanya dalam satu video di Facebook.

Beliau berkata, jasa dan pengorbanan arwah menjadi contoh kepada semua. – Malaysiapost 

Komen