‘Demi anak cucu keturunan kita’ – Ahmad Zahid

‘Demi anak cucu keturunan kita’ – Ahmad Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat kekal bertenang serta bersama-sama membina kembali Malaysia demi kebaikan agama dan bangsa.

Beliau yang juga Presiden Umno turut menzahirkan terima kasih atas solidariti para penyokong atas keputusan yang dibuat parti dalam pembentukan kerajaan.

“Demi anak cucu keturunan kita. Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk Kerajaan Perpaduan.

“Jangan derhaka sedikit pun walau tidak suka dan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Tuanku! Daulat Tuanku!,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau merujuk sidang media oleh beberapa ahli Umno yang menyatakan solidariti terhadapnya hari ini.

Sementara itu dalam hantaran terbarunya, Ahmad Zahid turut berkongsi titah media Istana Negara mengenai pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ia selaras kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di Istana Negara. – Malaysiapost

Komen