GPS terima permohonan maaf DAP, akur titah Agong

GPS terima permohonan maaf DAP, akur titah Agong

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menerima permohonan maaf yang dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata beliau turut menerima kunjungan Loke yang membuat pertemuan hormat kepada pemimpin tertinggi GPS hari ini.

“Setiausaha Agung DAP telah membuat permohonan maaf terbuka untuk apa-apa kenyataan yang telah menyinggung perasaan kerajaan serta rakyat Sarawak bagi pihak DAP.

“Ini dikuti permohonan maaf daripada Pengerusi Nasional DAP, Lim Guan Eng menerusi laman Facebook beliau.

“Kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka dan jiwa yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Johari berkata, GPS akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang ada pada Baginda menasihatkan membentuk kerajaan perpaduan.

“Pada 23 November Yang di-Pertuan Agong telah menitah GPS untuk hadir mengadap baginda dan rombongan GPS diketuai oleh Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Baginda menasihati untuk membentuk Kerajaan Perpaduan demi mengatasi kemelut politik.

“GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda dibawah Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan terdapat pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan yang menguris hati pemimpin GPS.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen antaranya, percaya mustahil untuk mengharapkan GPS bekerjasama dengan PH selepas Pilihsn Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, mengundi untuk GPS bersamaan memberi undi kepada Umno.

Susulan itu, Loke mewakili DAP dalam kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada pemimpin Kerajaan Sarawak dan rakyat negeri berkenaan sekiranya ada pemimpin parti itu pernah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan. – Malaysiapost

Komen