Hishammuddin nafi terima tawaran jadi PM ke-10

Hishammuddin nafi terima tawaran jadi PM ke-10

DATUK Seri Hishammuddin Hussein menafikan ditawarkan jawatan Perdana Menteri ke-10 oleh Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), turut menegaskan tidak terbabit dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN mahupun Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

“Ramai menyebarkan artikel ini (ditawar menjadi Perdana Menteri) – saya ingin mengesahkan bahawa dakwaan ini tidak benar sama sekali.

“Saya tidak sesekali terlibat dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN mahupun PH,” kata Ahli Parlimen Sembrong itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau akan mengambil tindakan perundangan ke atas sebuah media tempatan yang menyiarkan dakwaan itu, jika tidak menarik balik artikel berkenaan secara serta-merta.

“Saya juga tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan. Jika pihak Sinar Harian tidak menarik semula artikel ini dengan serta merta, saya akan mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, media terbabit melaporkan, PN didakwa menawarkan BN jawatan Perdana Menteri ke-10 jika kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.

Laporan yang memetik sebuah portal berita itu, mendakwa PN menyokong sekiranya Hishammuddin dilantik ke jatawan berkenaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Hishammuddin Hussein

Komen