Jokowi pemimpin pertama ucap tahniah pada Anwar

Jokowi pemimpin pertama ucap tahniah pada Anwar

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menjadi pemimpin negara pertama yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas lantikan sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Ucapan tahniah tersebut disampaikan Jokowi menerusi panggilan telefon selepas Anwar mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Negara, petang tadi.

“Terima kasih Presiden Indonesia Bapak Joko Widodo yang menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

“Saya tegaskan Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan dagang dan bisnis, investasi, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” katanya dalam hantaran Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan itu selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang.

Beliau kemudian menandatangani dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. – Malaysiapost

Komen