MKT sokong BN bentuk kerajaan perpaduan asalkan bukan PN

MKT sokong BN bentuk kerajaan perpaduan asalkan bukan PN

Najamuddin Mohd Nor

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah membuat ketetapan menyokong Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) 

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini telah mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN. 

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ahmad berkata, MKT bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyurkan oleh Sero Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. 

“MKT memperkukihkan sokongan terhadap Presiden Umno untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden Umno Malaysia,” katanya. -Malaysiapost

Komen