PDRM bagi amaran jangan timbulkan provokasi

PDRM bagi amaran jangan timbulkan provokasi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM sebagai institusi keselamatan negara akan terus memberikan komitmen dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah pentadbiran Perdana Menteri.

“Dalam proses peralihan kepimpinan kerajaan yang berlangsung, PDRM meminta kerjasama semua pihak untuk menerima baik proses demokrasi tanpa perlu mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak tidak bertanggungjawab melakukan sebarang provokasi atau membangkitkan isu perkauman dan agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani turut meminta orang ramai tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka dalam masa terdekat demi keselamatan dan ketenteraman awam.

“Pengguna dan pemilik akaun media sosial turut dinasihatkan untuk menjaga adab dan tingkah laku dalam mengeluarkan sebarang paparan yang boleh mencetuskan kegusaran pada masyarakat di negara ini.

“PDRM akan terus komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan masyarakat serta negara,” katanya.

Terdahulu Anwar selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang.

Beliau kemudian menandatangani dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. – Malaysiapost

Komen