Penduduk cemas harimau bawah rumah

Penduduk cemas harimau bawah rumah

Ben Ibrahim

SEORANG penduduk di Kampung Pagar Sasak, Lipis, Pahang terkejut apabila menyedari kelibat seekor harimau berada di bawah rumahnya petang tadi.

Dia kemudiannya menghubungi pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan harimau itu jam 5.39 petang.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis diarahkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemantauan awal.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mengesahkan haiwan itu adalah jenis ‘Harimau Akar’ dan sedang ‘berehat’ di bawah rumah penduduk di hadapan Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak, Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, sebentar tadi.

Harimau Akar yang sedang berehat di bawah rumah penduduk di hadapan Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak, Lipis. Kuantan

Ismail berkata, pihaknya sedang menunggu pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan PERHILITAN bersama ubat pelali sedang dalam perjalanan bagi membantu operasi menangkap haiwan berkenaan. – Malaysiapost

Kredit foto: Ihsan Bomba Pahang

Komen