PH, BN, GPS teras utama kerajaan perpaduan – PM

PH, BN, GPS teras utama kerajaan perpaduan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perpaduan nasional yang dibentuk hari ini sudah membabitkan penyertaan tiga komponen utama setakat ini.

Beliau berkata, soal kestabilan tidak berbangkit kerana gabungan kerajaan yang baharu membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, walaupun memiliki 139 kerusi setakat ini, beliau tidak menolak penyertaan parti lain dalam kerajaan perpaduan.

“Saya tetap bersedia menerima semua yang lain. Saya menunggu kesediaan rakan-rakan termasuk Perikatan Nasional (PN) walaupun kenyataan Pengerusi PN peringkat awal tidak memberangsangkan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media pertamanya selepas dilantik Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang. – Malaysiapost

Komen