Sah, Anwar Perdana Menteri ke-10 

Sah, Anwar Perdana Menteri ke-10 

YANG di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. 

Ia selaras kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.  

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di Istana Negara.  

Pelantikan Anwar turut diperkenan setelah Yang di-Pertuan Agong memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pagi tadi. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda mengingatkan semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.  

Justeru, katanya, menurut Yang di-Pertuan Agong, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.  

“Seri Paduka Baginda menegaskan negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.  

“Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu Baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.  

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara,” katanya menerusi kenyataan.  

Ahmad Fadil berkata, yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan ahli-ahii Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat supaya mempamerkan solidariti dengan memberi keutamaan, komitmen tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.  

Seri Paduka Baginda, katanya, turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang. – Malaysiapost

Komen