‘Saya doakan kerajaan baru dapat teruskan kestabilan politik’ – Ismail sabri

‘Saya doakan kerajaan baru dapat teruskan kestabilan politik’ – Ismail sabri

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mendoakan kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

“Setinggi tahniah kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Anwar yang merupakan Presiden PKR sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ia selaras kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung pada jam 5 petang tadi, di Istana Negara.

Sementara itu, Ismail Sabri juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia dan penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan yang telah bersama-sama membantunya selama ini.

“Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, dalam mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

Komen