Sejarah tercipta, Anwar angkat sumpah PM ke-10

Sejarah tercipta, Anwar angkat sumpah PM ke-10

AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang petang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kemudian menandatangani dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia sekali gus menyaksikan kerajaan PH berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan daripada gabungan parti lain. – Malaysiapost

Kredit foto: Ihsan RTM

Komen