Selebriti tanah air ucap tahniah Anwar dilantik PM ke-10

Selebriti tanah air ucap tahniah Anwar dilantik PM ke-10

PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 mendapat perhatian ramai selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga mendapat sokongan positif daripada artis-artis terkenal tanah air.

Bagi pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Hans Isaac, lantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 memberi makna besar dalam perjuangannya selepas terjun ke bidang politik.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, itu berkata, beliau amat berterima kasih kerana pengundi memberi mandat kepada Anwar.

Hans juga akui walaupun menerima kecaman warga maya selepas bergiat aktif dalam bidang politik, namun ia berbaloi selepas Presiden PKR itu diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Kami sangat terima kasih pada anda semua. Perjuangan ini sangat lama. Disebabkan perjuangan ini ramai yang tembak saya. Apa la Hans buat ini.

“Hari ini rakyat memilih dan mengangkat perdana menteri kami. Terima kepada team Ampang,” katanya dalam video yang dimuat naik di Instagram.

Pelakon filem Baik Punya Cilok itu berhasrat rakyat Malaysia kekal bersatu tidak mengira status atau fahaman politik.

“Niat saya kenapa buat ini kerana mahu rakyat Malaysia yang bersama. Tidak kira kaya atau tidak, tidak kira status.

“Selepas ini tiada lagi parti, tiada lagi warna bendera. Kita semua kena bersatu atas warganegara Malaysia,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penyanyi rap, Caprice menerusi hantaran di Instagram turut mengucapkan tahniah kepada Anwar dan mengingatkan agar menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan perpaduan.

“Kita kena hormat Yang di-Pertuan Agong dan keputusan membentuk kerajaan perpaduan bagi kebaikan sosial, ekonomi, dan politik yang stabil.

“InsyaAllah, bersama-sama kita harungi semua cabaran sebagai kerajaan perpaduan, dan yang utama bersatu untuk rakyat,” tulisnya.

Dalam masa sama, pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki juga mengucapkan tahniah kepada Presiden PKR itu.

Afdlin memuat naik poster wajah Perdana Menteri ke-10 itu di Instagram dengan ucapan syukur kerana rakyat memberi mandat kepada Anwar.

“Syukur ya Allah… sykur kerana mendengar permintaan hamba-hambamu ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen