Siapa ‘kona baring’ baliklah semula sokong Zahid – ketua Umno bahagian

Siapa ‘kona baring’ baliklah semula sokong Zahid – ketua Umno bahagian

PEMIMPIN Umno negeri terutama Ketua Bahagian seluruh negara menyatakan solidariti bagi menyokong Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Solidariti itu dinyatakan 90 daripada 130 ketua Umno bahagian yang hadir pada pertemuan bersama Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Ketua Umno Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah, yang mewakili kumpulan itu berkata 130 ketua bahagian termasuk pengerusi perhubungan negeri berikrar menyokong Ahmad Zahid bagi meneruskan perjuangan dan memastikan parti terus relevan.

“Presiden meminta kita terus bersama memperkukuh parti, mana-mana ketua bahagian yang masih rasa bimbang, syak wasangka, masih fikir macam-macam, silalah kembali untuk kita bersatu.

“Yang mana sudah ‘kona baring’ (desak Ahmad Zahid letak jawatan) baliklah semula, tunjuk solidariti kepada Presiden.

“Kita berlapang dada supaya Umno kembali padu bersatu, kita hanya menang 30 kerusi, kalau tidak bersatu, malanglah kita di masa depan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Antara yang hadir, Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, semua ketua Umno bahagian turut menyatakan kekesalan atas kebiadaban pemimpin parti komponen MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) atas desakan supaya Presiden meletak jawatan.

“Kita bawa dan kendong mereka berpuluh tahun, kerusi dimenangi mereka pun banyak majoriti Melayu, tetapi apabila kita dalam keadaan genting ini mereka pula berpaling tadah,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti termasuk komponen BN mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan Pengerusi BN dan Presiden Umno sebagai mengambil tanggungjawab kekalahan besar parti itu pada PRU15.

Penyataan itu itu dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup menerusi sepucuk surat bertarikh hari sama. – Malaysiapost

Komen