10 Ahli Parlimen BN tarik diri sokong Muhyiddin dalam SD baru – Puad

10 Ahli Parlimen BN tarik diri sokong Muhyiddin dalam SD baru – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliua berkata, perbuatan Muhyiddin itu seakan-akan mencabar titah Yang di-Pertuan Agong yang perkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Tetapi PM (Perdana Menteri) akan bawa usul kerajaan di sidang Parlimen 19 Disember akan datang. Ia akan tentukan keabsahan “simple majority” Anwar sebagai PM.

“Apa yang mengejutkan, Muhyiddin dedah ada 10 MP (Ahli Parlimen) Barisan Nasional (BN) buat SD (akuan bersumpah) sokong dia jadi PM ke 10. Viral nama 10 MP BN termasuk (Datuk Seri) Hishamuddin.

“Tetapi 10 MP BN (6 MP Umno) itu sudah tarik diri daripada sokong Muhyiddin melalui SD baru. Kalau tolak 10, maka 115 orang yang sokong Muhyiddin kini tinggal 105 MP sahaja,” jelasnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, 10 ahli parlimen BN yang menarik diri itu disebabkan telah menandatangani SD di hadapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pesuruhjaya Sumpah ketika bersetuju menjadi calon.

Ujarnya, keterangan SD di nombor 3 iaitu ‘Akuan Penetapan Ketua Kerajaan’ menyebut mereka bersetuju beri mandat kepada pemimpin utama parti merundingkan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU).

“Kedua, mengikut Bahagian Ke 2 Seksyen 193 Kanun Keseksaan Akta (574) mereka boleh dipenjara sampai tiga tahun dan denda jika membuat SD lain. Sebab itu mereka tarik diri.

“Akibatnya ‘scheme of thing’ Muhyiddin gagal. Apakah kini giliran Muhyiddin jadi PM tepi?,” katanya.

Malam tadi, Anwar memaklumkan bersedia menerima cabaran Muhyiddin yang mahu keabsahannya sebagai Perdana Menteri dibuktikan pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember depan.

Anwar berkata, beliau telah meminta Ahli Parlimen PH untuk mengemukakan usul undi percaya kepadanya pada sidang Parlimen itu.

Ia susulan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencabar Anwar mengemukakan jumlah sokongan yang dimilikinya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. – Malaysiapost

Komen