Elaun guru KAFA Selangor diselaras RM1,500

Elaun guru KAFA Selangor diselaras RM1,500

BERMULA Januari tahun depan, guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Selangor akan menerima elaun bulanan RM1,500.

Pelarasan elaun itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu sebagai menghargai peranan guru KAFA di Selangor selaku ‘murabbi ummah’.

Katanya, peranan guru KAFA bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan kandungan ilmu semata-mata, malah membentuk pelajar sebagai persediaan kehidupan yang seimbang di dunia dan akhirat.

Ketika ini, katanya, terdapat kira-kira 2,825 guru KAFA di Selangor masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

“Atas keprihatinan kerajaan negeri, pelarasan elaun minimum guru KAFA RM1,500 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari 2023.

“Sukacita diumumkan elaun bulanan seramai 2,825 guru KAFA akan diseragamkan dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan dengan peruntukan sejumlah RM4.8 juta bagi tujuan pelarasan berkenaan,” katanya.

Amirudin berkata, inisiatif kepada warga pendidik ini disifatkan sebagai pelaburan yang berbaloi kepada Pendidikan Islam Negeri Selangor ke arah melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan beragama.

Dalam pada itu, katanya, seramai 32 penyelia KAFA seluruh negeri ini pula bakal menerima insentif khas RM100 sebulan dengan implikasi kewangan RM38,400 setahun.

“Dengan itu, ia diharap dapat meningkatkan motivasi mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik dalam pengurusan KAFA Selangor khususnya,” katanya. – Malaysiapost

Komen