Kerajaan Perpaduan: PAS bincang dengan komponen PN dalam masa terdekat

Kerajaan Perpaduan: PAS bincang dengan komponen PN dalam masa terdekat

PAS akur terhadap perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10, semalam.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu menerima dengan redha dan hati terbuka terhadap segala ketentuan berkenaan, selain yakin ia mempunyai hikmah daripada Allah SWT.

“PAS mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kemelut kepimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

“PAS menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda.

“Ia berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, PAS turut mengucapkan tahniah kepada Anwar di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

“PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri dan rakyat jelata,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran Perdana Menteri untuk Perikatan Nasional (PN) menyertai Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, PAS akan membincangkan perkara itu dengan rakan-rakan komponen dalam gabungan tersebut dalam temph terdekat.

“Di samping itu kita turut meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU15 yang lalu,” katanya. – Malaysiapost

Komen