Mufti Perlis cadang parti dominasi Muslim sertai kerajaan baharu

Mufti Perlis cadang parti dominasi Muslim sertai kerajaan baharu

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

TERLEBIH dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada PM ke-10 Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya doakan semoga Allah membimbing pentadbiran beliau kepada kebaikan dan dilindungi dari keburukan dan kemurkaan-NYA.

Ramai telah diberikan peluang untuk jawatan tersebut, beliau belum lagi. Diharapkan ada kebaikan yang akan diperolehi oleh rakyat negara ini.

Proses pengundian telah tamat. Ketegangan juga patut berakhir. Menjadi pegangan kita bahawa apabila seseorang telah mendapatkan kuasa pemerintahan, maka dia ulul amri yang ditaati selagi mana bukan dalam perkara yang mungkar.

Pemerintah dibantu dalam hal yang makruf, dinasihatkan atau dibantah dalam perkara yang bercanggah dengan agama atau kemaslahatan rakyat.

Adapun dalam perkara yang tidak mungkar cuma kita tidak bersetuju, maka ijtihad pemerintah mengatasi ijtihad rakyat. Kita tetap taat dalam hal yang seperti itu. Nas-nas agama begitu banyak tentang perkara itu. Banyak telah saya tulis bab tersebut sebelum ini.

Justeru saya merasakan, untuk keharmonian negara, eloklah parti-parti lain dan semua pihak memberikan ruang dahulu kepada PM ke 10 ini melaksanakan agenda pemerintah beliau.

Selagi tiada zahir kemungkaran atau mafsadah ke atas rakyat, tiada alasan untuk sesiapa membantah atau mengganggu pemerintahan.

Saya juga berpendapat parti yang mempunyai dominasi muslim perlu menyertai kerajaan baharu ini jika mereka bimbang dominasi dalam kerajaan pihak yang mungkin membawa perkara yang bercanggah dengan identiti negara atau merosakkan integriti pentadbiran.

Dengan sokongan yang kuat, kerajaan baharu tidak bimbang ugutan golongan tertentu untuk keluar kerajaan jika tuntutan mereka tidak diperolehi.

Memandangkan DAP bersama kerajaan baharu ini, saya mencadangkan mereka juga memohon maaf kepada masyarakat muslim juga Melayu negara ini seperti yang mereka telah lakukan permohonan maaf kepada GPS di Sarawak.

Ini diharapkan dapat meredakan perasan masyarakat majoriti negara ini dan memulakan azam yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti Umat Islam dan Masyarakat Melayu negara ini.

Jika DAP enggan, mereka kelihatan sama sahaja dengan identiti DAP yang Umat Islam resah dan tolak sebelum ini.

Akhirnya, tahniah DSAI, PM ke 10 Malaysia. Semoga ‘Anwar Ibrahim’ yang dahulu dikenali lahir dari lubuk gerakan Islam itu kembali menjelma dengan semangat yang islamik dan negarawan yang baik.

Kerisauan dominasi pihak tertentu terhadap beliau harap dapat dipudarkan dengan pembuktian beliau dalam tindakan.

Penulis merupakan Mufti Perlis

(Artikel ini diambil daripada Facebook penulis dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Komen