Pemerintahan sah wajar disokong rakyat

Pemerintahan sah wajar disokong rakyat

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah kita perolehi. Sebagai rakyat, kita harus terima dengan hati yang terbuka.

Perkara itu diingatkan kepada umat Islam menerusi khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertajuk ‘Perpaduan Ummah Tunjang Kemakmuran Negara’ yang dibacakan khatib hari ini.

Dalam khutbah itu memaklumkan, negara telah selesai melalui proses Pilihan Raya Umum ke-15. Pebagai tawaran dalam manifesto telah dikemukakan oleh calon yang bertanding.

Seluruh warganegara yang layak mengundi juga telah selesai menjalankan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat yang akan memimpin negara untuk lima tahun mendatang.

Kita juga harus sedar bahawa pemerintahan sesebuah kerajaan itu adalah dengan izin Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 26 membawa maksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Khutbah Jumaat Perpaduan Ummah Tunjang Kemakmuran Negara Pemerintahan yang sah wajar disokong oleh seluruh rakyat.

Sebagai rakyat, kita mesti menumpahkan ketaatan dan kesetiaan kepada ulil amri iaitu mereka yang telah mendapat mandat untuk melaksanakan pemerintahan selagi tidak bertentangan dengan aturan syariat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Sepanjang tempoh proses pilihan raya dijalankan, kadangkala wujud suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian.

Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, seringkali berlaku perbezaan pendapat dan pandangan apatah lagi dalam suasana politik tanah air yang diwarnai dengan pelbagai latar belakang ideologi politik.

Namun kita harus sedar bahawa kepelbagaian pemikiran manusia tidak seharusnya dibiarkan menjadi titik pergolakan yang berpanjangan.

Justeru, hentikanlah sebarang tindakan provokasi yang boleh mengancam keharmonian masyarakat di negara ini. Rapatkan kembali ukhuwah Islamiah dan hubungan kita sesama warganegara.

Kesatuan umat Islam sememangnya menjadi benteng dalam memelihara ketinggian agama Islam. Rasulullah SAW mengajarkan kita bahawa perpaduan merupakan asas kepada kejayaan masyarakat dan negara.

Lihatlah, di antara agenda utama yang Baginda SAW laksanakan termasuklah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin.

Lebih daripada itu, Baginda SAW juga telah berjaya mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kabilah dan agama menerusi pengamalan nilai toleransi, sikap saling menghormati, bekerjasama dan bantu-membantu dalam pembangunan negara Madinah.

Renungkan hadis yang diriwayatkan olehImam Muslim RH daripada Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAWbersabda:

Bermaksud : “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti satu jasad. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan jasad tidak dapat tidur serta demam.”

Justeru, ayuh kita mengeratkan kembali tautan antara anggota masyarakat. Jalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit.

Hindarkan segala perkara yang boleh memudaratkan keharmonian seperti sikap prejudis, perkauman dan saling menghina lebih-lebih lagi melalui hantaran dan komentar di media-media sosial.

Pembentukan kerajaan yang stabil merupakan kunci kepada kemakmuran dan pembangunan negara.

Di sinilah kita dapat melihat sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini berfungsi dengan sebaiknya.

Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi pemangkin kepada pembentukan kerajaan baru yang dapat meneruskan legasi pemerintahan negara.

Sebagai rakyat yang cintakan Negara, kita hendaklah sentiasa meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan negara.

InsyaAllah, Allah SWT akan memberi petunjuk dan pertolongan dalam pemerintahan dengan jalan yang terbaik demi kepentingan masyarakat dan negara yang kita cintai ini. – Malaysiapost

Komen