Anggota Kabinet yang dilantik perlu berjimat – Anwar

Anggota Kabinet yang dilantik perlu berjimat – Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua anggota Kabinet yang bakal dilantik tidak lama lagi agar tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu,terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.

Beliau berkata, anggota Kabinet juga diingatkan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.

Anwar turut menasihati anggota Kabinet supaya sentiasa berjimat dengan lebihan peruntukan itu perlu dipulangkan kepada golongan susah.

“Kalau boleh jimat, sama ada RM100, RM1,000 atau RM10,000, ia boleh dipulangkan kepada golongan susah.

“Amalan dari dulu apabila setiap menteri berpindah atau ditukarkan akan guna RM300,000 hingga RM500,000 untuk baik pulih pejabat, termasuk membeli kerusi dan meja cantik.

“Saya sendiri sudah pulangkan kereta dengan nombor pendaftaran BEM 1 yang digunakan sebelum ini, selain akan gunakan kereta sedia ada saja dan syaratnya tidak ada pembelian baharu daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Ini termasuk juga laporan mengenai kerosakan karpet di PMO. Saya sudah arahkan supaya ia dibaiki dan syaratkan supaya tiada pembelian baharu. Ini adalah mesej kepada pimpinan kementerian dan jabatan lain supaya ingat bahawa dalam keadaan sekarang kita patut mulakan budaya baharu,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Solat Hajat, Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ashabus Solihin, Sungai Long, malam ini. -Malaysiapost

Komen