Anwar menghadap TMJ

Anwar menghadap TMJ

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan menghadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini. 

Perkara itu dikongsi sendiri menerusi laman Twitter TMJ yang  memaklumkan pertemuan itu turut sertai Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. 

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim terima mengadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bersama YAM Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tengku Muda Pahang hari ini. Allah Peliharakan Sultan,” catatnya. 

Hantaran itu turut disertakan dengan beberapa keping foto sekitar pertemuan berkenaan.

Khamis lalu, TMJ memuat naik ciapan di Twitter, mengucapkan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis, lalu. 

Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen gembira dengan hubungan baik antara Anwar dan institusi diraja.

“Kalau nak terus memenangi hati rakyat, sama-sama berganding bahu dengan Raja-Raja Melayu. Sentiasa rapat dan update. InsyaAllah disukai ramai.

“Kegembiraan dapat dilihat daripada pandangan mata TMJ dan jabat tangannya dengan Anwar.

“Kita dah boleh bayangkan dah ni Tuanku @HRHJohorII pakai jersi JDT dengan PM10 @anwaribrahim pakai jersi Selangor selfie sama-sama dekat stadium,” kata netizen. -Malaysiapost

Komen