Hentikan kenyataan ganggu gugat pentadbiran Johor – Onn Hafiz

Hentikan kenyataan ganggu gugat pentadbiran Johor – Onn Hafiz

SEMUA pihak diseru tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri Johor. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil, di bawah naungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

 “InsyaAllah. Negeri Johor masih lagi sebuah kerajaan yang stabil di bawah naungan Kebawah DYMM Tuanku Sultan Johor.

“Saya mohon kembali supaya tidak ada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat pentadbiran Negeri Johor,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Beliau turut menyertakan pautan berita mengenai ‘PH Johor Mohon Wakil Rakyatnya Jadi Ahli JTPD’.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor, memohon budi bicara kerajaan negeri untuk membenarkan wakil rakyat daripada parti itu dilibatkan sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

Wee Tse dipetik sebagai berkata ia bertujuan menyelaraskan gerak kerja pentadbiran memandangkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) sudah menjadi rakan sekutu di peringkat Kerajaan Persekutuan. – Malaysiapost

Komen