JDT rangkul Piala Malaysia tewaskan Selangor 2-1

JDT rangkul Piala Malaysia tewaskan Selangor 2-1

GOL jaringan Fernando Forestieri menobatkan Johor Darul Ta’zim sebagai juara Piala Malaysia edisi 2022 sekali gus melengkapkan kejuaraan ‘treble’ selepas unggul menguasai Liga Super dan Piala Fa sebelum ini.

Gol yang dijaringkan pada minit ke-59 itu cukup membawa JDT menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi final yang mendebarkan di Stadium Bukit Jalil, malam ini. 

Selangor yang menggelarkan sebagai pasukan ‘underdog’ dalam perlawanan ini hampir melakukan kejutan awal pada minit kedua menerusi Hein Htet Aung namun sepakannya melepasi gawang gol JDT. 

Perlawanan berlangsung rancak apabila anak buah Tan Cheng Hoe dapat menyerap asakan JDT dan menyerang menerusi serangan balas. 

Selangor tampak lebih berbisa yang sering mencemaskan pintu gol JDT, namun penyudah tumpul barisan serangannya yang diketuai Caion, memberi kelegaan kepada skuad Harimau Selatan. 

Dua minit sebelum babak pertama tamat, Selangor dihadiahkan sepakan penalti apabila Mathew Davies menjatuhkan striker Caion. 

Caion yang mengambil sepakan itu tenang menyempurnakannya menewaskan Farizal Marlias sekali gus Selangor mendahului JDT 1 gol di hadapan. 

Namun, kegembiraan Selangor tidak lama, apabila Bergson Da Silva menyamakan kedudukan 1-1 dua minit masa tambahan yang menguis masuk hasil sepakan sudut.

Bersambung babak kedua, perlawanan berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. 

Bagaimanapun JDT berjaya menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan JDT dalam final ini menerusi rembatan kencang Forestieri yang gagal dapat diselamatkan Khairulazahan pada minit ke-59. -Malaysiapost

Komen