Anwar belum bincang bentuk Kabinet bersama parti komponen PH – Mat Sabu

Anwar belum bincang bentuk Kabinet bersama parti komponen PH – Mat Sabu

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum membincangkan pembentukan Kabinet bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Presiden Amanah, Mohamad Sabu bagaimanapun percaya ia akan dilakukan secepat mungkin oleh Pengerusi PH itu.

“(Perbincangan) bentuk kerajaan, kita (PH) belum bincang, tetapi kita akan tubuh kerajaan secepat mungkin.

“Untuk jawatan menteri dan sebagainya, terserah kepada Perdana Menteri. Saya tidak tahu sama ada akan tersenarai (kabinet) atau tidak,” katanya malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas meraikan petugas PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Parlimen Kota Raja.

Mohamad pernah menyandang portfolio Menteri Pertahanan selepas PH memenangi PRU-14, pada 2018.

Pada PRU-15, beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 73,998 undi menewaskan pencabar dari Perikatan Nasional (PN), Mohamed Diah Baharun yang memperoleh 49,308 undi. – Malaysiapost

Komen