Anwar beri tempoh 2 minggu teliti isu subsidi rakyat

Anwar beri tempoh 2 minggu teliti isu subsidi rakyat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk meneliti dan memperincikan pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.

Menurutnya, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan menikmatinya.

“Saya beri tempoh dua minggu untuk mencerakin, menyelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk meringankan beban rakyat miskin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat NACCOL hari ini.

Anwar berkata, implikasi subsidi perlu diteliti kerana ia tidak bersasar ketika ini dengan turut dinikmati golongan kaya dan industri.

“Saya tidak ada masalah dengan subsidi untuk rakyat, (namun) subsidi harus bersasar, jika tidak harga minyak sebagai contoh, dimanfaatkan oleh golongan miskin dan kaya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil langkah perlu untuk mengawal harga makanan, terutama telur ayam.

“Apa yang ditekankan ialah masalah harga barang, kos sara hidup. Saya mengucapkan terima kasih kerana industri nampaknya menyediakan telur mencukupi dalam pasaran dan berdasarkan keterangan, hal ini (bekalan telur ayam) akan bertambah dalam masa singkat,” katanya. – Malaysiapost

Komen