Bakal menteri perlu bebas kes mahkamah

Bakal menteri perlu bebas kes mahkamah

JEMAAH Menteri yang bakal dilantik menganggotai kerajaan diterajui Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu bebas daripada kes mahkamah.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia penting sebagai menterjemahkan standard tinggi bagi mengelakkan timbul isu selepas pembentukan kerajaan, selain meletakkan satu piawaian tinggi integriti sebagai menteri.

“Kalau dah memang disabitkan kes mahkamah maka tak patut berada dalam Kabinet walaupun belum ditentukan bersalah atau tidak, peringkat rayuan atau sebagainya.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak, selain rakyat sangat tekankan hingga kini adalah soal rasuah,” katanya lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata setiap parti politik mempunyai Ahli Parlimen yang mampu dan layak untuk memegang jawatan atau portfolio menteri, termasuk menteri kanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Justeru, katanya, pemilihan anggota Kabinet kelak perlu meneliti semua faktor memandangkan kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk perpaduan.

Semalam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong cadangan seorang pemimpin Umno yang mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Cadangan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii yang mahu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dibuat dengan ‘kembali’ kepada hierarki dan keputusan parti.

Selain Ahmad Zahid yang berdepan kes mahkamah, turut menghadapi pendakwaan adalah pemimpin PH membabitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Malaysiapost

Komen