BN nafi hantar cadangan nama Menteri Kabinet – Zambry

BN nafi hantar cadangan nama Menteri Kabinet – Zambry

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menafikan mengeluarkan kenyataan media mengenai cadangan nama-nama Ahli Parlimen gabungan itu sebagai Menteri Kabinet yang baharu.

Dalam satu penafian ringkas melalui satu hantaran di Facebook hari ini, beliau menegaskan kenyataan media yang tular itu adalah palsu.

“Banyak sangat berita palsu,” katanya yang turut berkongsi kenyataan media palsu itu dalam hantaran berkenaan.

Terdahulu, tular kenyataan media yang menggunakan kepala surat BN didakwa dikeluarkan oleh Zambry yang antara lain mengandungi nama-nama Ahli Parlimen BN yang dikatakan akan dilantik ke Kabinet.

Antara nama yang disenaraikan adalah Ahli Parlimen Rembau yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Turut dinamakan adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Kewangan; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Hal Ehwal Undang-undang; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pelajaran); dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Mohamad Alimin (Menteri Kerja Raya).

Kenyataan media berkenaan turut menyatakan BN berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengotakan janji untuk memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN.

Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas dikatakan mendapat sokongan daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya, minggu depan.

Saiz Jemaah Menteri pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga dijangka akan dikecilkan selain sebelum ini mengumumkan akan turut melantik dua Timbalan Perdana Menteri daripada wakil BN dan GPS. – Malaysiapost

Komen