BN, PH sah bentuk kerajaan negeri Pahang

BN, PH sah bentuk kerajaan negeri Pahang

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Abdullah, hari ini memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizap Ab Rahman, memaklumkan Tengku Hassanal Ibrahim terdahulu berkenan menerima mengadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat pimpinan parti-parti politik yang terbabit susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Dewan Negeri Pahang.

“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian ll, Perkara 3(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Pemangku Raja telah berkenan untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar Pahang.

“Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang akan diadakan esok jam 11 pagi di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PRU-15, 19 November lalu, Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, manakala BN memperoleh 16 kerusi dan PH memenangi lapan kerusi.

Susulan itu tiada mana-mana parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri mendorong perbincangan diadakan antara BN dengan PH dan PN. – Malaysiapost 

Komen