BN sokong Anwar kerana menjunjung titah Agong – Ahmad Zahid

BN sokong Anwar kerana menjunjung titah Agong – Ahmad Zahid

SOKONGAN Barisan Nasional (BN) terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong  supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan gabungan itu pada awalnya memutuskan untuk menjadi pembangkang dan kemudian berkecuali.

Menurutnya, namun akhirnya menyerahkan 30 kerusi Parlimen yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu untuk pertimbangan kebijaksanaan Agong untuk menentukannya.

Beliau berkata, perkara sama juga berlaku dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Hal ini berlaku selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti. BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sebelum itu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atau apa-apa bentuk kerajaan lain yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, menegaskan apabila pelantikan Perdana Menteri ke-10 sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan tersebut.

“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.

“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, juga memaklumkan BN akan menyokong usul undi percaya di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri agar keabsahan Perdana Menteri dimuktamadkan dan pihak yang cuba mempertikai akan senyap.

“Walaupun ada pihak mengatakan ini langkah berisiko Perdana Menteri baharu, namun inilah proses demokrasi yang perlu dilalui.

“BN akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagj menyokong pembentukan kerajaan baharu ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen