Dong Zong rakus tuntut iktiraf UEC – Aminuddin

Dong Zong rakus tuntut iktiraf UEC – Aminuddin

TINDAKAN Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang segera menuntut janji Pakatan Harapan (PH) berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menyerlahkan kerakusan badan itu.

Tuntutan terhadap UEC dan peruntukan kekal kepada sekolah persendirian UEC dibuat hanya beberapa hari selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang, Aminuddin Yahaya menyifatkan Dong Zong pandai dan rakus mengambil peluang.

“Ini kerana mereka tahu antara kesemua janji manifesto PH, inilah yang paling susah untuk ditunaikan dan mereka inginkan jaminan itu secepat mungkin.

“Lebih-lebih lagi momentum penerimaan rakyat terhadap pembentukan kerajaan baharu ini adalah bersangka baik iaitu ‘kita berilah peluang dulu’.

“Dong Zong mungkin sangka rakyat tidak akan bangkit menentang agenda UEC dan peruntukan sekolah persendirian mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dong Zong menggesa kerajaan baharu mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Cina bebas dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina secepat mungkin.

Dalam pada itu, Aminuddin mendakwa kepimpinan Barisan Nasional (BN) menerima tuntutan Dong Zong itu seperti mana yang termaktub dalam manifesto mereka sejak zaman Datuk Seri Najib Razak lagi.

“Lebih parah lagi, ada ahli Majlis Tertinggi Umno mendedahkan wujud suara-suara pimpinan tertinggi sudah berani berkata tidak mahu ‘jaga orang Melayu lagi’ selepas kecewa dengan penolakan orang Melayu terhadap Umno.

“Setakat setuju terima UEC ini, apalah sangat, malah parti-parti komponen lain terutamanya MCA dalam BN memang penyokong tegar UEC,” dakwanya.

Menurutnya, pendokong tegar UEC dalam PH, iaitu DAP adalah parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak dan pastinya Anwar akan tunduk jika mereka bersuara.

“King maker dari Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS)  juga pendokong UEC, malah mengiktiraf UEC di peringkat negeri.

“Maka, kerajaan campuran ‘PH plus’ zaman Anwar jauh lebih ‘totok’ menyokong UEC berbanding dahulu. Saya merasakan memang janji dan agenda mengiktiraf UEC kali ini jauh lebih serius,” katanya. – Malaysiapost

Komen