Empat Adun BN Perak cuba dipancing

Empat Adun BN Perak cuba dipancing

TERDAPAT percubaan pihak tertentu mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Perak pada awal pembentukan kerajaan negeri, minggu lalu. 

Perkara itu didedahkan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang berkata, terdapat cubaan mendapatkan sekurang-kurangnya empat sokongan Adun BN ketika itu. 

Menurutnya, cubaan itu dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat dan individu yang menjadi ‘ejen’ kepadanya.

“Saya dimaklumkan bahawa sudah ada ‘ejen’ yang menghubungi Adun BN supaya tinggalkan parti dan menyertai mereka seperti mana yang berlaku pada PRU14.

“Itu bukan cara baik cuba bawa empat orang lari menyertai mereka dan menubuhkan kerajaan serta meninggalkan lima Adun BN menjadi pembangkang.

“Saya terus buat keputusan menghubungi pihak istana malah, saya mendapat persetujuan daripada lapan Adun BN, maka saya menghadap Sultan Perak, sembilan daripada BN dan 24 daripada Pakatan Harapan (PH) kita cukup kerusi bentuk kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Khas Menteri Besar Perak di Kompleks Komuniti Desa Kemas di Lenggong, hari ini.

Bagaimanapun, Saarani enggan mendedahkan nama keempat-empat Adun berkenaan.

“Saya tidak boleh dedahkan itu kerana menjaga keselamatan mereka. Mereka hanya diminta tinggalkan (parti)

“Saya tidak tahu apakah tawaran cuma diminta menyertai gabungan parti itu. Mereka ada 26 kerusi hendak ambil empat daripada BN,” katanya.

Menteri Besar Perak itu menjelaskan, pemilihan untuk membentuk kerajaan bersama PH bukanlah suatu pengkhianatan sebaliknya demi kestabilan politik dan negeri dapat ditadbir dengan baik.

“Tidak timbul masalah mengkhianati parti atau masalah meninggalkan perjuangan, tidak timbul masalah hilang prinsip.

“Orang Umno tidak perlu rasa bersalah kerana yakin Allah beri ada hikmahnya. Saya reda orang mengata tetapi saya yakin saya buat keputusan betul demi Allah baik untuk agama dan bangsa,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak.

“Saya berjanji sekiranya ada pihak terus mengasak dan meminta saya ikut telunjuk mereka, saya tidak teragak-agak menarik keluar sembilan orang dari kerajaan negeri, kita tidak perlu akur,” katanya. -Malaysiapost

Komen