Gabungan PH-BN: ‘Saya bukan pengkhianat, keputusan itu tepat’, jawab Saarani

Gabungan PH-BN: ‘Saya bukan pengkhianat, keputusan itu tepat’, jawab Saarani

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempertahankan dirinya bukan pengkhianat, susulan keputusan menubuhkan kerajaan negeri dengan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, beliau menegaskan langkah itu demi rakyat dan negeri Perak supaya pentadbiran lebih stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menjawab label pengkhianat yang dilemparkan terhadapnya, beliau berkata ia tidak benar kerana paling penting ialah untuk membuat keputusan yang betul dan tepat.

“Itulah keyakinan pada saya. Jadi nak kata saya pengkhianat? Saya bukan masuk DAP, PH, PKR.

“Saya dipelawa membentuk kerajaan negeri Perak walaupun saya bersiap sedia hendak jadi pembangkang. Tapi kerana PH ada 24 kerusi dan 26 (kerusi) pada PN menjadikan semuanya adalah 50.

“Dengan 50 kerusi mereka patutnya boleh menjadi kerajaan yang kuat kerana mendapat lebih dua pertiga serta tinggalkan saya untuk jadi pembangkang,” katanya pada wawancara bersama Utusan Malaysia.

Menteri besar itu dipetik berkata, Kerajaan Perpaduan BN dan PH kini mencari titik persamaan bagi membangunkan Perak.

Katanya, walaupun berbeza parti dan ideologi politik, ia bukan bermakna tidak boleh bersama-sama untuk berkompromi demi kebaikan rakyat Perak.

“Setakat ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) bersetuju untuk gunakan Kerajaan Negeri Perak dan bukannya istilah kerajaan PH plus BN atau sebaliknya.

“Sekiranya kita mula cari perbezaan dan kesalahan, maka tidak tercapai hasrat untuk bangunkan negeri,” jelasnya lagi.

Pada 21 November lalu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak itu dipersetujui PH dan BN selepas kedua-dua gabungan politik itu bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu. – Malaysiapost

Komen