GRS patut tinggalkan PN – Mohd Puad

GRS patut tinggalkan PN – Mohd Puad

PARTI Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran agar meninggalkan Perikatan Nasional (PN) selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berpendapat langkah itu adalah penyesuaian bagi manfaat kepada rakyat negeri berkenaan.

“Betul kata rakan MKT saya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, “Politik hari ini adalah politik adjustment”. Penyesuaian ikut mana lebih bermanfaat.

“Lebih-lebih lagi untuk Sabah dan Sarawak. Hubungan Pusat dan negeri amat penting. Maka amat wajar GRS menyertai kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Timbalan Pengerusi GRS sendiri menegaskan penyertaan parti itu dalam PN sudah tidak lagi relevan.

“Manakala Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, kata Muhyiddin (Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin) lebih tahu kenapa GRS sokong Kerajaan Perpaduan.

“Justeru sebagai adjustment untuk kepentingan Sabah, amat wajar GRS tinggalkan PN tetapi kekal bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di Sabah,” katanya. – Malaysiapost

Komen