Kelantan minta bantuan tentera atasi pencerobohan hutan

Kelantan minta bantuan tentera atasi pencerobohan hutan

KERAJAAN pimpinan PAS Kelantan pernah meminta bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani isu pencerobohan hutan simpan di negeri itu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihak berkuasa terbabit mengadakan operasi untuk mengawasi pencerobohan daripada individu yang menebang hutan secara haram.

“Pernah suatu ketika dahulu, kita (kerajaan negeri) meminta kerjasama daripada pihak tentera dan pihak berkuasa lain untuk menjaga hutan selain melakukan operasi bagi mengelak daripada individu yang hendak menembak binatang liar,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) berkenaan usaha dibuat kerajaan bagi menangani pencerobohan hutan secara haram di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Kecil Perhutanan Kelantan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera terhadap mereka yang menceroboh kawasan hutan simpan. – Malaysiapost

Komen