Pembentukan Kabinet, BN harap Anwar tak buat macam Muhyiddin

Pembentukan Kabinet, BN harap Anwar tak buat macam Muhyiddin

UMNO dan Barisan Nasional (BN) berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meminggirkan mereka dalam menentukan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu memberi keutamaan pemilihan anggota Kabinet mengikut hierarki atau struktur jawatan dalam parti-parti yang menyokong kerajaan.

Justeru, Ahmad Maslan menegaskan, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan mesti dipanggil berunding sebelum senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan.

Katanya, sebelum ini, Ahmad Zahid tidak dirundingi dalam pembentukan dua Kabinet dalam kerajaan yang disertai BN dahulu.

“Kali ini, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN perlu dirundingi untuk buat keputusan pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Saya difahamkan ketika Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri Kelapan), Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dirundingi.

“Maka anggota Kabinet yang dilantik (Muhyiddin) itu tidak mengikut hierarki parti. Itu yang berlaku ketika Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

“Saya harap Anwar yang jadi Perdana Menteri ke-10, berunding dengan pucuk pimpinan parti terutama Presiden supaya ia jadi suara parti, bukan orang lain yang jadi suara parti. Ini adalah kebaikan semua pihak,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis doa selamat dan Ahli Parlimen Pontian di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, pemilihan calon Timbalan Perdana Menteri daripada BN bagi mengisi slot pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.

Katanya, keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan ‘kembali’ kepada hierarki serta keputusan parti berdasarkan hierarki parti dan Ahmad Zahid adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Maslan menjangkakan anggota Kabinet yang baharu akan diumumkan minggu depan.

“Mengenai nama saya turut disebut-sebut menganggotai Kabinet, itu saya serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Umno dan BN,” katanya. – Malaysiapost

Komen