Perdana Menteri terima kunjungan hormat GRS, Warisan

Perdana Menteri terima kunjungan hormat GRS, Warisan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, di pejabatnya Putrajaya, hari ini. 

Menerusi hantaran di Facebook beliau, Anwar memaklumkan, Hajiji yang merupakan Ketua Menteri Sabah hadir bersama delegasi GRS. 

“Hajiji dan GRS memberi dukungan penuh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan saya.

“Saya tentunya mengalu-alukan dan menghargai dukungan terbabit, demi kepentingan kerajaan negeri dan kesejahteraan buat rakyat Sabah,” katanya.

GRS dianggotai BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir Sabah.

Menerusi satu lagi hantaran Facebook, Perdana Menteri turut memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di lokasi yang sama, petang tadi. 

“Saya juga terima kunjungan hormat dari Presiden Parti Warisan yang juga Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di pejabat petang ini.

“Saya mengalu-alukan komitmen beliau dan Warisan yang menyokong usaha pembentukan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya. 

Warisan yang memenangi tiga Parlimen telah menyatakan sokongan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar. 

Kerajaan Perpaduan yang terbentuk membabitkan penyertaan tiga komponen utama, iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, GPS dan GRS.

Semalam, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg telah melakukan kunjungan hormat bertemu Anwar di kediamannya di Kajang, Selangor. -Malaysiapost

Komen