Permohonan sertai PAS meningkat – Razman

Permohonan sertai PAS meningkat – Razman

PESURUHJAYA PAS Perak, Razman Zakaria memaklumkan berlaku peningkatan mendadak permohonan untuk menyertai parti berkenaan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu diumumkan.

Beliau berkata, sehingga 25 November lalu lebih dari 500 permohonan secara daftar terus telah diterima oleh Pejabat Agung PAS dan terus bertambah hingga kini.

“Secara tiba-tiba, permohonan untuk menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meningkat mendadak selepas keputusan PRU-15.

“Justeru kempen PAS Pilihanku 4.0 yang telah dilancarkan sebelum ini di Sik, Kedah diteruskan sempena pasca PRU-15,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Razman turut berkongsikan syarat-syarat untuk memohon sebagai ahli PAS mengikut Fasal 11 Perlembagaan PAS (Pindaan 2020) iaitu warganegara Malaysia, beragama Islam, aqil baligh menurut hukum syarak dan mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan Parti dari semasa ke semasa.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran, beliau berkata PAS yang kini menjangkau usia 71 tahun pada 24 November lalu telah melalui pelbagai cabaran, pengalaman dan kenangan, namun tetap teguh berdiri mengharungi jatuh bangun perjuangan.

“Liku perjalanan generasi terdahulu menjadi penguat serta pengajaran untuk ahli PAS terus istiqamah atas landasan perjuangan ini.

“Kini PAS terus melangkah gagah dalam medan dakwah, tarbiah dan arus perdana politik tanah air,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, berkata PAS telah berjaya menjadi parti paling dominan di negara apabila memperoleh 43 kerusi dalam PRU-15.

“PAS Perak juga telah memperoleh 17 kerusi hasil sokongan rakyat negeri Perak yang menolak kleptokrasi dan penipuan terhadap rakyat. Peningkatan yang amat memeranjatkan. Alhamdulillah, Syukur.

“Kemenangan ini pasti menjadi satu peluang juga cabaran buat gerakan Islam. Usaha penyatuan ummah akan tetap digerakkan,” katanya.

Razman menegaskan, perjuangan PAS tidak akan berhenti sehingga cita-cita Daulah Islamiyah tertegak menjadi kenyataan. – Malaysiapost

Komen