Pertubuhan KAB bina Pusat Pengajian al-Quran di Kuantan

Pertubuhan KAB bina Pusat Pengajian al-Quran di Kuantan

HAMPIR setahun mencari tanah sesuai, hasrat Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Basri (Pertubuhan KAB) membina Pusat Pengajian al-Quran akhirnya dapat direalisasikan.

Pengerusi Pertubuhan KAB, Khairul Anuar Basri berkata, pusat pengajian berkenaan bakal dibina di Pelindung, Kuantan hasil dana disumbangkan orang ramai.

Menurutnya, walaupun banyak tanah yang dicadangkan sebelum ini, namun ia tidak sesuai berikutan beberapa faktor.

Katanya, tanah yang bakal dibangunkan Pusat al-Quran KAB berkenaan adalah seluas 2 ekar, dengan 1.5 ekar daripadanya sudah diwakafkan manakala separuh ekar lagi dijual pada harga RM400,000.

“Sejak hampir setahun, kami bertungkus-lumus mencari tapak tanah yang sesuai dan memenuhi objektif. Ia bukanlah kerja yang mudah.

“Alhamdulillah amanah yang Pertubuhan KAB pikul sejak setahun yang lalu, sudah boleh dilepaskan sedikit demi sedikit, namun ini hanyalah satu permulaan kerana banyak lagi kerja yang mesti dijalankan,” katanya.

Jelas Khairul Anuar, sebelum ini lima tanah dicadangkan seperti di Gombak, Temerloh, Lanchang, Kijal dan Tanjung Malim.

Beliau berkata, pencarian untuk mencari tanah dipermudahkan apabila Pengerusi Surau Ar-Raudhah, Mohd Azli Abdullah memperkenalkan mereka kepada seorang pemilik tanah yang mahu menjual tanahnya.

“Mohd Azli juga bersetuju menjadi pengurus bagi Pusat al-Quran KAB,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kutipan dana untuk penubuhan pusat pengajian al-Quran itu berjumlah RM303,405 manakala bakinya harga tanah itu akan diusahakan selepas ini.

“Terima kasih kepada semua dermawan yang bersama-sama menyumbang kepada Tabung Pertubuhan KAB khasnya untuk tabung tanah ini. Semoga ia menjadi pemberat mizan dan perisai daripada api neraka di akhirat kelak,” katanya. – Malaysiapost

Komen