PN sanggup beri jawatan MB kepada BN tubuh kerajaan Pahang

PN sanggup beri jawatan MB kepada BN tubuh kerajaan Pahang

PERIKATAN Nasional (PN) Pahang sedia menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Barisan Nasional (BN) namun meletakkan beberapa syarat dalam usaha menubuhkan kerajaan negeri. 

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, BN patut menerima beberapa syarat dan tuntutan seiring dengan kekuatan PN yang menang 17 kerusi berbanding BN yang memenangi 16 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, antara tuntutan berkenaan adalah tiga daripada lima anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik diberikan kepada PN,  tiga jawatan exco untuk PN dan jawatan speaker DUN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang. 

“Insya-Allah sinar harapan itu ada di mana-mana, PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” katanya dipetik Kosmo!Online, hari ini. 

Tuan Ibrahim yang merupakan Pengerusi Perhubungan PN Pahang berkata, PAS sedia bertolak ansur sekali gus memberikan jawatan Menteri Besar kepada Pahang. 

“Oleh itu permuafakatan politik PN dan BN dalam Muafakat Nasional merupakan jalan terbaik demi perpaduan ummah dan kestabilan di negeri ini.

“PN bersedia bertolak ansur menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada BN walaupun kita menang lebih satu kerusi yang diberi mandat oleh pengundi,” katanya. 

Keputusan PRU-15 menyaksikan DUN di Pahang dimenangi PN sebanyak 17 kerusi berbanding BN yang menang 16 kerusi serta PH yang memiliki 8 kerusi. 

Susulan itu, DUN Pahang tergantung kerana tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil (PRK) Tioman kini dijadualkan pada 7 Disember ini berikutan kematian calon PN.- Malaysiapost

Komen