Remaja curi duit tabung masjid sudah diberkas.

Remaja curi duit tabung masjid sudah diberkas.

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas dipercayai mencuri tabung di Masjid Pekan Sanglang, Ayer Baloi, Pontian pada 20 November lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) gelagat remaja terbabit mencuri duit tabung masjid berkenaan turut tular di media sosial sejak semalam.

Video berdurasi dua minit 50 saat itu memaparkan remaja terbabit bertindak membuka tabung di dalam masjid berkenaan sebelum mencurahkan duit terbabit di atas karpet dan kemudian mengira duit berkenaan dalam masjid terbabit yang dilihat seperti tiada perasaan takut langsung kerana mencuri.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shidee Tayib, mengesahkan mengenai kejadian dan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, suspek ditahan polis selepas pihak masjid yang terbabit membuat laporan pada 23 November lalu.

“Hasil siasatan, kejadian berlaku pada 20 November lalu pada jam 10.58 pagi di Masjid Pekan Sanglang, Ayer Baloi. Pada 23 November 2022 pihak masjid telah membuat laporan berkaitan kejadian itu di Balai Polis Ayer Baloi, Pontian.

“Bertindak atas maklumat, pada hari sama kira-kira jam 3 petang sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian telah membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 16 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda. – Malaysiapost 

Komen