“Saya tidak tahu apa gula-gula ‘pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN” – Saifuddin

“Saya tidak tahu apa gula-gula ‘pelincir’ yang PH setuju tawarkan kepada BN” – Saifuddin

PERIKATAN Nasional (PN) Pahang mendakwa sudah berusaha membentuk kerajaan gabungan di Pahang bersama Barisan Nasional (BN), namun gagal kerana BN terlalu tamak dalam kerusi Exco selain menuntut jawatan Menteri Besar.

Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata sebagai gabungan yang menerima mandat terbesar daripada rakyat Pahang, sejak awal PN sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang.

Menurutnya, pembentukan itu bagaimanapun bukan dengan Pakatan Harapan (PH) yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Tetapi BN pula menuntut jawatan Menteri Besar dan mahukan tujuh kerusi Exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi Exco sahaja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.

“Sifat tamak dan mahu mengenepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar Umno-BN yang rakyat perlu sedar,” katanya yang turut menegaskan keputusan rakyat Pahang yang memilih PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu dihormati.

Beliau juga mempersoalkan mengenai tawaran PH kepada BN dalam usaha kedua-dua parti berkenaan membentuk kerajaan negeri.  

“Saya tidak tahu apa gula-gula “pelincir” yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. – Malaysiapost

Komen