Siapakah dua pemimpin Umno jadi ‘ejen’ PN?

Siapakah dua pemimpin Umno jadi ‘ejen’ PN?

TIMBUL tanda tanya siapakah pemimpin Umno yang menjadi dalang sehingga sanggup terbang ke Sarawak bagi menyakinkan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) kononnya Barisan Nasional (BN) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan. 

Perkara itu dikongsi Facebook Datuk Seri Najib Razak yang memetik laporan News Straits Times (NST) terdapat dua pemimpin Umno yang memainkan peranan sebagai ejen Perikatan Nasional (PN) ketika di peringkat awal kemelut Parlimen tergantung berlaku. 

“Media New Straits Times mendedahkan cerita ini. Ianya seorang pemimpin veteran yang tiada jawatan dalam UMNO.

“Dia telah dipengaruhi oleh “Scheme of Things” dan disogok dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya PN berjaya bentuk kerajaan.

“Lalu dia pergi ke Sarawak untuk menipu GPS bahawa dia sudah ada 18 orang ahli Parlimen BN yang bersetuju menyokong PN.

“Dia juga kata ada seorang lagi pemimpin BN di semenanjung Malaysia yang turut usahakan 10 lagi Ahli Parlimen bagi menyokong PN biarpun BN masih belum sempat bermesyuarat selepas PRU15 untuk memilih langkah seterusnya,” kata hantaran di Facebook yang dipercayai dikendalikan ahli keluarga Najib. 

Menurutnya, jika benar laporan NST ini, kedua-dua pemimpin BN ini boleh dipecat dari Umno sebab telah menjual nama dan kepentingan parti.

“Malah, mereka boleh juga disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebab menipu untuk mendapat kepentingan diri sekiranya Umno membuat laporan Polis atau SPRM

“Kita sudah maklum bahawa GPS di Sarawak pada mulanya menyokong Muhyiddin sebab mereka ditipu bahawa BN sudah bersetuju untuk menyokong PN.

“Tetapi siapakah yang lawat Sarawak untuk menipu GPS biarpun BN belum bermesyuarat pun pada masa itu? 

“Siapakah kedua-kedua pemimpin yang terlibat ini?” soalnya. -Malaysiapost

Komen