Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor hadir Konvokesyen UPM dan UiTM

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor hadir Konvokesyen UPM dan UiTM

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor, semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, pada majlis konvokesyen itu, Baginda mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bachelor dan Diploma kepada 718 graduan pelbagai program pengajian.

Dalam titah ucapan, Baginda selaku Tuanku Canselor mahu pengurusan UPM sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan untuk mengangkat UPM sebagai menara ilmu.

“Baginda percaya bahawa pendidikan yang berkualiti merupakan teras pada kesempurnaan pembangunan negara.

“Titah Baginda lagi, peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan graduan yang dapat penuhi pasaran kerja tetapi juga melengkapkan graduan dengan kemahiran yang diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut berbangga UPM terus mengekalkan reputasi sebagai universiti paling lestari di negara untuk tempoh 12 tahun berturut-turut.

Sementara itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pula berkenan berangkat ke sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, semalam.

Baginda yang merupakan Pro-Canselor UiTM mewakili Tuanku Canselor UiTM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam sidang pertama itu menyaksikan seramai 116 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan.

Dalam titah ucapan, Baginda berharap agar institusi pengajian tinggi di negara ini memastikan perangkaan pelan pengajian selari dengan permintaan pasaran terutama dalam bidang yang boleh membentuk masa depan. – Malaysiapost

Komen