Tiada cuti khas hari pengundian Padang Serai

Tiada cuti khas hari pengundian Padang Serai

TIADA pemberian cuti khas pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Padang Serai, 7 Disember ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata, kerajaan negeri tidak dapat mempertimbangkannya kerana pilihan raya itu hanya melibatkan satu kawasan Parlimen di negeri itu. 

“Tak dapat dipertimbangkan sebab satu Parlimen saja. Cuti ini ada kuota terhad,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya kerajaan negeri itu mengumumkan cuti khas pada 7 Disember ini bagi memudahkan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan pengundian diadakan pada hari Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember, berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang disahkan bertanding M Karupaiya pada 16 November lalu. -Malaysiapost

Komen