Tulisan Presiden PAS tentang ‘pengadil tidak adil’ cetus tanda tanya

Tulisan Presiden PAS tentang ‘pengadil tidak adil’ cetus tanda tanya

Aiman Hanif

BAHARU saja selesai isu pelantikan Perdana Menteri, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menulis artikel tentang bagaimana pengadil bola sepak membantu kemenangan pasukan yang kalah untuk mencipta kemenangan.

Mesikipun tidak secara jelas, tulisan berbentuk kiasan itu dipercayai merujuk kepada isu pemilihan Perdana Menteri yang mana Perikatan Nasional (PN) mendakwa mendapat majoriti mencukupi bagi menobatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Abdul Hadi berkata masa kecederaan biasanya akan ditambah apabila benar-benar berlaku kecederaan, kerana ingin menguruskan pihak yang tercedera untuk mendapat rawatan segera.

“Bagaimana pula kalau pengadil menambah masa bukan kerana faktor kecederaan atau seri tiada keputusan?

“Padahal keputusannya sudah ada kemenangan pada satu pihak, ada mata dan golnya, tiba-tiba pengadilnya menambah masa juga untuk memberikan peluang kepada yang nyata sudah kalah supaya mereka dapat meraih kemenangan juga dengan apa cara sekalipun, yakni masanya dicederakan oleh si pengadil.

“Apakah yang diperkatakan oleh penonton yang menyaksikan secara langsung atau tayangan daripada jauh?

“Islam mewajibkan umatnya agar berlaku adil dalam semua perkara, daripada dalam satu keluarga sehinggalah dalam satu masyarakat dan negara dalam semua perkara, termasuklah dalam pertandingan sukan,” katanya dalam tulisan yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Khamis lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Istana Negara mengesahkan yang beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sebelum itu Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mendakwa mempunyai 115 akaun bersumpah (SD) sokongan ahli Dewan Rakyat termasuk 10 Ahli Parlimen BN.

Bagaimanapun 10 Ahli Parlimen BN berkenaan dilaporkan telah mnarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Turut menarik sokongan terhadap Muhyiddin 23 Ahli Parlimen GPS serta lapan Ahli Parlimen GRS.- Malaysiapost

Komen