Ismail Sabri zahir ucapan takziah atas pemergian Nawawi

Ismail Sabri zahir ucapan takziah atas pemergian Nawawi

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa sedih serta merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, awal pagi tadi.

Bekas Perdana Menteri itu turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman serta beramal soleh.

“Mendapat perkhabaran mendukacitakan pemergian Nawawi, seorang sahabat lama saya sejak zaman kami sama-sama dalam Pemuda Umno.

“Beliau merupakan Ketua Umno Bahagian Langkawi dan bekas Ahli Parlimen Langkawi.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga keluarga tabah menghadapi dugaan ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Nawawi 61, meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi di Frankfurt, Jerman.

Berita sedih itu disahkan Timbalan Ketua Umno Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan, pagi ini.

Difahamkan Nawawi berada di Frankfurt bagi urusan kerja atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pemergian beliau ke sana turut ditemani isterinya, Datin Sabariah Hassan dan jenazah kemungkinan dikebumikan di Frankfurt. – Malaysiapost

Komen